Daripada Padang Bola ke Puncak Gunung: Bekas Pemain Skuad Presiden KL Bangkit Dari Kecederaan ACL, Jadi Inspirasi Ribuan Anak Muda
Beberapa tahun lalu, impian Anwar untuk membina
kerjaya dalam dunia bola sepak profesional tergendala apabila beliau mengalami
kecederaan ACL (anterior cruciate ligament) yang teruk mimpi ngeri bagi
mana-mana atlet. Terpaksa berehat panjang, melalui sesi rawatan intensif dan
fisioterapi, Anwar mengakui saat itu merupakan antara detik paling gelap dalam
hidupnya.
Namun semangat juang yang tertanam dalam dirinya
sejak zaman sukan tidak pernah padam. Dengan disiplin tinggi dan sokongan moral
daripada keluarga serta rakan-rakan, beliau bangkit semula. Bukan ke padang
bola, tetapi ke jalan-jalan maraton dan laluan pendakian yang mencabar.
“Saya fikir masa depan saya dalam sukan sudah
berakhir. Tapi dalam proses pemulihan itu, saya mula jumpa semula diri saya
saya tak boleh berlari di padang seperti dulu, tapi saya masih boleh berlari
dalam hidup ini,” katanya sambil tersenyum selepas menamatkan satu acara
separuh maraton sejauh 21 kilometer di Hatyai Thailand. 
Kini, Mohd Anwar Syafiq dikenali dalam kalangan
komuniti larian dan pendakian, malah menjadi rujukan dan semangat kepada ramai
bekas atlet, pesakit kecederaan sukan, serta anak muda yang sedang berjuang
dalam hidup. Kisahnya dikongsi luas di media sosial, dan beliau sering dijemput
ke sesi motivasi serta program belia untuk berkongsi pengalaman jatuh dan
bangkit.
“Kecederaan ACL mungkin telah tamatkan kerjaya
bola sepak saya, tapi ia juga membuka pintu kepada satu perjalanan baru yang
jauh lebih bermakna. Saya mahu orang muda tahu kegagalan bukan penamat, tapi
permulaan kepada versi diri kita yang lebih kuat,” ujarnya penuh semangat.
Beliau turut merancang untuk menulis buku berkaitan kisah perjalanannya, dan kini aktif terlibat dalam komuniti belia, menyampaikan mesej bahawa kekuatan sebenar bukanlah pada fizikal semata-mata, tetapi pada keazaman yang tidak pernah luntur.
Comments
Post a Comment