Amaran awal lubang benam, jangan pandang remeh
SEMASA memandu, kebanyakan kita jarang memikirkan tentang jalan yang dilalui. Namun, permukaan rata itu sebenarnya lebih penting daripada yang disangka.
Dalam beberapa keadaan, tanda amaran awal pada permukaan jalan dapat membantu kita menghindari situasi berbahaya seperti lubang benam dan tanah runtuh yang berpotensi mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.
Lubang benam terbentuk apabila kawasan yang sebelum ini stabil runtuh, mendedahkan rongga kosong di bawah permukaan jalan atau bangunan. Ini terjadi apabila tanah terhakis akibat hakisan berterusan, biasanya disebabkan oleh air.
Lubang benam boleh bermula dari lekukan kecil dan berkembang menjadi lubang besar yang mampu menelan sebahagian jalan atau bangunan. Sementara itu, tanah runtuh berlaku apabila sejumlah besar batu dan tanah jatuh akibat gelongsoran tebing atau cerun, yang biasanya dicetuskan oleh hujan lebat, gempa bumi, atau aktiviti manusia yang tidak terkawal.
Jadi, apakah tanda amaran awal pada permukaan jalan?
Pertama, retakan pada permukaan jalan. Tanda awal yang mungkin menunjukkan akan berlakunya lubang benam atau tanah runtuh adalah kemunculan retakan pada permukaan jalan.
Jika anda perasan retakan yang muncul dan melebar dengan cepat, ini mungkin menunjukkan tanah di bawah permukaan jalan sedang bergeser atau terhakis.
Perhatikan lekukan, jalan seperti tenggelam
Kedua, lekukan di permukaan jalan. Jika jalan kelihatan seperti tenggelam atau berlekuk, ini mungkin menandakan bahawa tanah di bawahnya terhakis, dan terdapat rongga di bawahnya.
Lekukan kecil ini boleh berkembang menjadi lubang benam yang lebih besar jika tidak diambil tindakan segera. Ia biasanya lebih jelas setelah hujan berhenti apabila air terkumpul di lekukan tersebut.
Ketiga, turapan yang membonjol atau bengkak. Kadang-kadang, permukaan jalan mungkin kelihatan seperti membonjol ke atas, mungkin disebabkan tekanan daripada pergerakan tanah atau pengumpulan tekanan air di bawah tanah, yang mungkin menandakan potensi tanah runtuh atau lubang benam.
Keempat, kerosakan jalan yang tiba-tiba. Jika anda menemui bahagian jalan yang tiba-tiba pecah atau runtuh tanpa sebab yang jelas, ini mungkin merupakan tanda amaran bahawa sesuatu sedang berlaku di bawah permukaan.
Jadi, menyedari potensi bahaya ini, apa yang perlu dilakukan?
Boleh mengancam keselamatan nyawa dan kenderaan
Jika lubang benam atau tanah runtuh berlaku, akibatnya boleh menjadi serius dan mengancam nyawa. Jalan raya boleh runtuh secara tiba-tiba, menyebabkan kenderaan jatuh ke dalam lubang besar atau dihanyutkan.
Pengguna jalan raya boleh cedera atau terbunuh, dan kenderaan boleh mengalami kerosakan teruk. Walaupun lubang benam atau tanah runtuh tidak berlaku semasa kita memandu, jalan raya yang rosak boleh menyebabkan kemalangan jika pemandu hilang kawalan atau menukar arah untuk mengelakkan kawasan berbahaya.
Untuk memastikan keselamatan, pihak yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan jalan perlu kerap memeriksa permukaan jalan dan kawasan sekitarnya untuk mengenal pasti tanda amaran awal.
Teknologi canggih seperti radar penembusan tanah boleh digunakan untuk mengesan masalah yang berpotensi sebelum ia menjadi serius. Pengguna jalan raya yang melihat tanda-tanda ini harus segera melaporkan kepada pihak berkenaan untuk mengelakkan kemalangan. Setelah menerima aduan, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh segera bertindak menyiasat dan mengambil langkah pencegahan.
Dengan sentiasa berwaspada dan memahami tanda-tanda kemungkinan lubang benam dan tanah runtuh, kita boleh bekerjasama memastikan jalan raya selamat untuk semua.
Penulis adalah Ketua Sustainable Asphalt Research Group (SARG), Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM).
--Sumber: Berita Harian
Comments
Post a Comment