Cadangan pampasan untuk keluarga mangsa tanah jerlus akan dibawa ke mesyuarat Kabinet
PUTRAJAYA - Usul pemberian pampasan kepada keluarga mangsa wanita India yang terjatuh ke dalam lubang akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, menyatakan bahawa perkara ini akan dibincangkan segera dalam mesyuarat Kabinet pada minggu depan.
"Kami bercadang untuk membawa isu ini ke Kabinet dan membincangkannya. InshaALLAH, mesyuarat akan diadakan minggu depan," katanya pada Ahad.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutup Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2024 di Persisiran Tasik Presint 2.
Turut hadir ialah Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud, dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif.
Pada Sabtu, Dr. Zaliha juga menyatakan bahawa kerajaan bersedia mempertimbangkan pampasan kepada keluarga mangsa yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur.
Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita bernama G Vijaya Lakshmi dari Kuppam, Andhra Pradesh, India, dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.
Beliau juga menyebut bahawa kajian menyeluruh termasuk audit integriti, pemeriksaan saluran air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), dan kajian kestabilan tanah dari sudut geologi di kawasan tersebut perlu dilaksanakan.
"Proses ini akan mengambil masa kerana kajian terperinci diperlukan, dari pintu gerbang Kampung Baru hingga ke Mydin (di Jalan Masjid India)," tambahnya.
-- Sumber: Sinar Harian
Comments
Post a Comment