MAIWP-UCMI luaskan perkhidmatan Dialisis di Putrajaya
PUTRAJAYA – Kolej Universiti
Antarabangsa MAIWP (UCMI) melalui Pusat Perniagaannya hari ini telah membuka
sebuah lagi cawangan Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS iaitu di Putrajaya. Majlis
perasmian ini telah disempurnakan oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd
Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
serta dihadiri oleh Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP dan
Prof. Dr. Wan Mohd Azizi bin Wan Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap
Naib Canselor UCMI bersama pengurusan kanan MAIWP dan UCMI.
Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS (PHMP) ini adalah
kerjasama strategik antara MAIWP dan UCMI (dahulunya dikenali sebagai PICOMS),
bertujuan memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan kepada golongan asnaf di
Wilayah Persekutuan. Pusat ini dilengkapi dengan teknologi hemodialisis terkini
termasuk Mesin Hemodiafiltration (HDF), yang menunjukkan komitmen dalam
memberikan rawatan terbaik dan terkini kepada pesakit.
Dalam ucapannya, YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd
Na'im menegaskan bahawa pembukaan pusat ini merupakan usaha penting MAIWP dan
UCMI dalam memperkasakan khidmat kesihatan kepada masyarakat, terutamanya
golongan kurang berkemampuan. Beliau turut menekankan pentingnya sinergi antara
institusi agama dan pendidikan dalam memperluas akses kepada rawatan kesihatan
berkualiti.
“Pelan Transformasi Al Falah dari Jabatan Perdana
Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia adalah inisiatif penting yang merangkumi
pelbagai aspek kehidupan umat Islam, termasuk kesihatan. Pelan ini menekankan
kepentingan kesedaran kesihatan melalui kempen meluas. Ini seiring dengan
matlamat Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS, di mana penjagaan kesihatan yang
berkualiti dan mudah diakses adalah menjadi keutamaan,” kata YB Senator Dato’
Setia Dr. Haji Mohd Na’im.
Pembukaan Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS (PHMP)
Cawangan Putrajaya ini bukan sahaja meningkatkan akses kepada rawatan
berkualiti untuk pesakit asnaf tanpa membebankan kewangan mereka, tetapi juga
menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat setempat. Selain itu,
PHMP ini bakal berfungsi sebagai tempat latihan bagi program post-basic renal serta lapangan kajian
untuk pelajar pasca-siswazah, dengan kajian yang menumpukan kepada inovasi
rawatan perubatan yang diharapkan memberi manfaat besar kepada masyarakat
secara keseluruhannya.

.jpeg)

Comments
Post a Comment